SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau sendiri telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut, bagi memastikan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dapat dilakukan secara berterusan.

Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan kesinambungan kepada pengumuman yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini, termasuk berkaitan tarif elektrik, petrol serta langkah mengawal kekurangan bahan makanan asas.

“Saya telah bekerjasama dengan menteri-menteri tertentu yang menjaga portfolio mengenai kos sara hidup ini bersama-sama Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah serta lain-lain pegawai kanan kementerian untuk menangani permasalahan ini secara tuntas.

“Dan kita lihat dalam tempoh sebulan ini juga, beberapa pengumuman dilakukan dan perubahan-perubahan diumumkan selepas setiap mesyuarat mingguan Kabinet. Ini sudah tentu melegakan kebanyakan rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Persatuan Penganut Kuil Sree Maha Kaliamman, di sini, hari ini.

Mengulas penangguhan pelantikan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Ahmad Zahid berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan prosedur pelantikan mengikut garis panduan yang akan ditetapkan.

“(Penangguhan) Itu telah dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat lain di bawah kementerian serta agensi untuk disama ratakan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri.

“Maka penyelarasan dibuat untuk semua jawatan, bukan hanya satu jawatan sahaja. (Ia) akan diumumkan sekali lagi,” katanya lagi.

Kenyataan Ahmad Zahid itu juga sebagai mengulas keputusan Perdana Menteri untuk menangguhkan kesemua lantikan bersifat politik ke dalam syarikat dan badan berkaitan kerajaan.